Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Serangan udara Tentera Filipina yang mensasarkan kumpulan militan di Marawi telah menyebabkan 10 anggota pasukan itu yang sedang bertempur terbunuh, manakala tujuh lagi cedera.
Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, sekumpulan anggota tentera telah terkena serangan udara semalam.
Pihak tentera melancarkan serangan berterusan sejak Selasa minggu lalu ke atas bandar Marawi bagi menumpaskan militan yang menguasai bandar berkenaan.
Serangan dipertingkatkan dengan membabitkan tembakan roket dari helikopter ke atas anggota militan yang bersembunyi di kawasan perumahan dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 2,000 orang awam pada masa ini terperangkap di dalam konflik itu.
Lorenzana sebelum ini beberapa kali memberi jaminan pengeboman dijalankan dengan teliti bagi mengelakkan korban dalam kalangan orang awam,
“Memang menyedihkan kerana di dalam peperangan kejadian sedemikian memang tidak dapat dielakkan,” kata Lorenzana, semalam semasa mengumumkan insiden menimpa pasukan keselamatan.
Pertempuran bermula apabila pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah bagi menangkap ketua militan, Isnilon Hapilon dan pasukan terbabit terpaksa berdepan dengan tentang militan yang lengkap bersenjata mengawal Hapilon. - AFP
1 Jun 2017 - 14:26
News ID: 833519
Serangan udara Tentera Filipina yang mensasarkan kumpulan militan di Marawi telah menyebabkan 10 anggota pasukan itu yang sedang bertempur terbunuh, manakala tujuh lagi cedera.